Sayup-sayup terdengar alunan syahdu bacaan ayat-ayat suci
Al Quran dendangan ibu. Dengan mata yang baru terbuka separuh, aku
menoleh ke arah jam di dinding. Dalam samar-samar cahaya lampu tidur aku
mengagak… baru pukul empat lebih. Apahal pula ibu bangun membaca
surat-surat Allah di kala orang lain dibuai mimpi? Belum pernah aku
mendengar ibu membaca Al Quran walaupun pada siang hari. Apatah lagi
pada pagi-pagi buta begini. Aku juga tidak pasti sama ada ibu mampu
bertilawah dengan baik atau tidak. Aku bingkas bangun lalu membetulkan
urat-urat badan.Sebaik-baik sahaja pintu bilik dibuka, aku
ternampak Najib, adik bongsuku sedang mengulangkaji pelajaran agaknya di
meja tulis comel diterangi lampu kecil. Rasa hairan bermain dalam dada…
tak pernah si Najib ni “study” sebelum subuh. Selalunya dia berjaga
sampai pukul dua baru masuk tidur. Apakah dia mendapat petua baru? Atau…
adakah Ustaz Azman berpesan apa-apa?
Teringat
aku sewaktu di tingkatan tiga dulu. Dalam satu perkhemahan pengakap,
Ustaz Azman dijemput memberikan tazkirah selepas solat fardhu Maghrib
berjemaah. Ada dia menyentuh tentang “study”. Dari situlah aku baru
mengetahui masa terbaik untuk “study”, yang akan memudahkan hafalan,
menyihatkan tubuh badan, mendatangkan hidayah dan barakah, mengilhamkan
pemahaman serta lebih mendekatkan diri kepada Allah- pada dua pertiga
malam iaitu antara pukul dua pagi hinggalah ke waktu subuh. Boleh jadi…
Najib pun dah tahu.
Aku mengintai ke bilik ibu yang sememangnya
tidak berpintu, hanya dihijab sehelai kain pintu berwarna hijau berbunga
biru muda dan merah jambu. Ibu masih melagukan ayat-ayat Allah dengan
nada suara sederhana. Ibu bertelekung! Sudah tentu ibu bangun solat
malam. Peliknya! Sebelum ini ibu hanya solat Maghrib dan Isya’ saja,
waktu-waktu lain tak berapa ambil berat.
Lebih pelik lagi… kulihat
ayah dengan berketayap putih duduk bersila di tepi katil. Keadaannya
seolah-olah orang sedang bertafakur. Mulutnya kumat-kamit. Kupasang
telinga baik-baik, apalah agaknya yang ayah baca tu. Sesekali agak keras
suaranya.
Subhanallah… ayah sedang mengkhatamkan zikir persediaan
Naqsyabandiah. Selama inipun memang aku ada mengamalkannya
sendiri-sendiri. Zikir itu kuperolehi sewaktu mempelajari ilmu perubatan
Islam daripada Darus Syifa’ kelolaan Dr. Haron Din di universiti dulu.
Daripada mana pula ayah memperolehinya? Setahu aku… ayah jarang-jarang
solat. Berjemaah ke surau teramatlah jauhnya kecuali sewaktu Kak Ngah
nak kahwin-sebab takut orang kampung tak datang gotong-royong masak.
Lepas tu haram tak jejak kaki ke surau.
Aku beredar ke
ruang tamu. Keriut bunyi lantai papan yang kupijak telah menyedarkan
Shahrul, seorang lagi adik lelakiku. Lampu ruang tamu tak bertutup
rupanya.
“Dah pukul berapa kak?”
“Emmm… dah empat lebih,”sahutku sambil melabuhkan punggung di atas kusyen.
Shahrul bangun dan terus ke bilik air. Tak lama kemudian dia masuk ke biliknya. Aku pasti dia sembahyang.
Apa dah jadi dengan rumah ni? Naik bingung seketika…
Aku
rasa Shahrul terlena sewaktu membaca kerana ada sebuah buku di kusyen
panjang tempat tidurnya tadi. Masih cantik sifat-sifat buku itu, mungkin
baru dibeli. Kucuba membaca tajuknya… Perjuangan Wali Songo di
Indonesia. Masyaallah, Shahrul boleh tertidur membaca buku tersebut? Aku
yakin si Shahrul ni tak pernah baca buku-buku agama pun. Yang
diminatinya tak lain itulah… majalah sukan, komik dan hiburan. Seribu
satu macam pertanyaan berlegar dalam kepalaku.
Memang pernah ayah
dan adik-adik bangun atau berjaga malam… untuk menonton perlawanan bola
sepak. Tetapi kali ini mereka bangun untuk beribadah!
Sudah lebih
lima tahun aku berusaha untuk menghidupkan roh Islam di rumah ini namun
kejayaannya cuma secubit. Keluargaku tidak menunjukkan minat untuk
membudayakan Islam dalam rumah kami. Kalau ayah dan ibu sendiri
menentang, bagaimana dengan adik-adik? Kak Long Tikah dan Kak Ngah Ilah
masing-masing telah berumahtangga, jadi… tak kisahlah. Namun ada
keganjilan yang sukar kutafsir tika ini sedang berlaku di dalam rumah.
Selepas
solat tahajjud aku terus berbaring. Lesu akibat perjalanan jauh masih
terasa. Maklumlah, baru tengah malam semalam tiba dari Kota Jakarta,
tempat kubekerja sebaik-baik sahaja lulus dari universiti.
Aku
terjaga sekali lagi apabila deruman enjin motosikal menerjah gegendang
telingaku. Kalau tak silap itu bunyi motosikal ayah. Motosikal mula
bergerak lalu menuju ke jalan besar. Menurut di belakang adalah bunyi
kayuhan basikal. Makin lama makin jauh.
“Ada… ooo Ada,” laung ibu sambil mengetuk pintu bilik.
“Ya mak,” sahut ku lemah.
“Bangun solat Subuh ye nak.”
“Ha’ah,” aku patuh.
“Mak… ayah pergi mana?” soalku ingin tahu.
“Ke surau dengan adik-adik… berjemaah.”
Alangkah
indahnya suasana fajar kali ini. Inilah suasana waktu fajar yang telah
lama kuimpikan. Selama beberapa tahun aku merindukan suasana ini… rindu
pada kedamaian, rindu pada ketenangan, rindukan kesejahteraan dan juga
kebahagiaan hidup berbudayakan roh Islam. Dulu, subuh-subuh begini hanya
ada aku seorang… bersama Kekasih, kini sudah ramai… juga bersama
Kekasih. Terasa rumahku yang selama ini suram mula bercahaya… telah ada
jiwa......
Aku
menolong ibu menyediakan sarapan di dapur. Rezeki kami pada hari itu
adalah cempedak goreng. Ayah masih di bilik. Menurut ibu, ayah akan
terus berzikir sehingga terbit matahari pada hari-hari cuti. Tidak ada
seorangpun ahli keluarga yang berbaring atau tidur. Semua ada aktiviti
masing-masing selepas solat Subuh. Bukankah tidur selepas Subuh itu
membawa kemiskinan, penyakit, malas dan lain-lain kesan negatif?
Shahrul
dan Najib berada di bahagian belakang rumah yang sememangnya agak luas.
Pada mulanya aku berasa janggal melihat mereka bersiap-siap. Apabila
kutanya jawab mereka “nak riadah, ayah suruh”. Bukankah sebelum ini
mereka kaki tidur nombor satu? Kalau hari cuti, dah tentu pukul sepuluh
ke atas baru bangun. Lepas bangun menonton televisyen. Tengah hari baru
mandi. Sekarang sudah berbeza benar.
Sesekali aku menjenguk mereka
melalui tingkap dapur. Kalau tadinya mereka terkejar-kejar berlari anak
keliling rumah, kini mereka berkuntau pula. Memang budak-budak berdua
ni aktif dalam persatuan silat di sekolah, tapi tak pernah pula mereka
berlatih pada waktu pagi. Bergomol dan berkunci-kuncian sampai basah
kena air embun di rumput. Ini rupanya riadah mereka. Eloklah… memang
digalakkan Islam.
Pagi itu kami menghadap sarapan secara
berjemaah, semua ada. Ayah sendiri yang membaca doa beserta maksudnya
sekali. Amboi, hebat juga ayah kami ni! Aku mengingatkan adik-adik
supaya selalu menyebut nama Allah di dalam hati sepanjang masa makan.
Mak dan ayah mengiyakan kata-kataku itu. Seronok rasanya mendapat
sokongan mak dan ayah. Sebelum ini kalau aku menegur adik-adik tentang
agama, cepat benar muka mereka berubah. Namun Allah Yang Maha Merancang
bisa mengubah segalanya. Syukur.
Ayah ke pasar bersama Shahrul
sementara Najib pergi ke rumah kawannya Hafiz untuk meminjamkan kaset
kumpulan nasyid Raihan dan Diwani. Peluang ini kuambil untuk mengorek
cerita daripada ibu.
“Mak, Ada rasa seronok balik kali ini.”
“Iyelah, dah dekat setahun Ada tak balik… tentulah seronok,” balas ibu sambil tersenyum.
“Ada rasa kan mak, rumah kita ni dah ada roh… tak macam dulu…”
Ibu
tidak terus menjawab apa-apa. Dia menarik nafas panjang. Kepalanya
didongakkan ke dinding, menatap sebuah lukisan pemandangan yang cantik
hadiah daripada menantunya Zamri, suami Kak Long. Lukisan itu adalah
hasil tangan Abang Zamri sendiri
“Ini semua kerja Allah Ada. Mak
sedar Ada sentiasa cuba merubah cara hidup keluarga kita… supaya kita
berpegang dengan budaya Islam. Kami pandang remeh aje segala saranan dan
teguran Ada.”
Ibu mengalihkan pandangannya ke arahku. “Itulah… kalau Allah nak ubah, siapapun tak sangka.”
“Apa dah jadi Mak?” soalku lebih serius.
“Abang
Zamri Ada tu le… bukan sebarangan orang. Dalam diam-diam dia
mendakwahkan budaya hidup Islam kat kita. Memanglah mulanya tu kami buat
tak tahu… dia berjemaah ke surau ke, dia baca Quran ke, berzikir ke,
cara dia berpakaian ke, apa ke di rumah kita ni.”
Memang kuakui
Abang Zamri lain daripada yang lain. Sejak mula berkahwin dengan Kak
Long lagi jelas perawakannya yang mulia. Gerak lakunya sopan. Tidak
pernah meninggi diri.Tidak bergurau berlebih-lebihan. Hormat kepada
orang tua. Mengasihi adik-adik. Kalau berbicara dengannya, dia tidak
pernah lari daripada berbicara tentang Islam. Dia seolah-olah tidak
terpengaruh dengan keseronokan dunia. Tidak ada perkara lain yang
dicintainya selain daripada berjuang untuk Islam.
Abang Zamri
jarang sangat pernah bercerita tentang kereta mewah, rumah besar, duit
banyak, pangkat tinggi, perempuan cantik, muzik, filem, bolasepak, para
artis, pakaian cantik dan lain-lain sedangkan semua itu diperkatakan
sehari-hari dalam keluarga kami. Sememangnya dia ada kelebihan yang
dikurniakan Allah SWT. Entahlah apa yang telah dibuatnya hingga keluarga
kami berubah. Ingin kutanya pada ibu tapi… tunggulah nanti, apabila ada
masa yang sesuai, insyaallah.
“Mak, Ayah, Shahrul dan Najib pergi ke rumah mak mertua Kak Long Ada… rumah keluarga Abang Zamri…”
“Mak ke Terengganu?” soalku.
“Iye, cuti penggal sekolah hari tukan Ada tak balik… kami pergi le ziarah besan kami.”
“Habis tu… apa yang jadi?”
Ibu
terus bercerita dengan anjang lebar sambil kami melipat kain baju.
Menurut ibu, keluarga Abang Zamri bukanlah orang senang. Adik-beradiknya
seramai sembilan orang. Namun corak kehidupan mereka sungguh aman
bahagia dan tenang Banyak perkara baru yang ibu dan ayah pelajari selama
lima hari berada di sana.
Waktu tiba di kampung halaman Abang
Zamri, keluarga kami disambut meriah dan penuh hormat. Gembira sungguh
mereka menerima tetamu. Masing-masing dengan wajah ceria dan menampakkan
ketenangan. Adik-adik Abang Zamri semua mencium tangan ibu dan ayah
sementara Shahrul dan Najib dipeluk seolah-olah kawan lama. Ayah dan ibu
agak terkejut dengan situasi tersebut kerana sebelum ini anak-anak
sendiri pun susah nak cium tangan.
Rumah mereka bersih walaupun
tidak mewah. Begitu juga dengan halamannya yang terjaga. Irama nasyid,
bacaan al Quran, zikir munajat dan ceramah agama silih berganti
kedengaran daripada radio kaset mereka. kalau di rumah kami tu, dari
padi sampai ke malam dipenuhi dengan lagu-lagu artis tempatan dan luar
negara.
Waktu Subuh sangat indah di sana. Sejak jam empat pagi
lagi rumah itu telah dipenuhi dengan ibadah-ibadah sunat. Ada yang
bertilawah, ada yang berzikir, ada yang solat dan sebagainya. Kemudian,
yang lelakinya beramai-ramai solat fardhu Subh berjemaah ke masjid. Oleh
kerana malu-malu alah, Ayah pun terpaksalah bangun dan pergi ke masjid
sekali.
Dari awal pagi lagi keluarga Abang Zamri yang lelakinya
turun ke pantai yang nampak dari rumah mereka. Mereka duduk mengelilingi
Pak Luqman, bapa kepada Abang Zamri untuk mendengar tazkirah pendek.
Kemudian adik-adik Abang Zamri yang kecil berlari-lari anak dalam satu
barisan sepanjang pantai. Abang Zamri dan bapanya pula membasahkan tubuh
dengan air embun yang diambil daripada pokok-pokok kayu. Tujuannya
untuk menjaga kekuatan badan. Ayah hanya tersengih apabila dipelawa oleh
Pakcik Luqman. Begitulah rutinnya setiap pagi selama ayah dan ibu
berada di sana.
Waktu bersarapan tiba. Semua isi rumah ada,
tidaklah seperti rumah kami- sarapan sendiri-sendiri. Mereka menghadap
makanan dengan wajah yang manis, dimulakan dengan doa. Alangkah mesranya
hubungan sesama mereka. Terasa suatu perasaan tenang yang sukar
digambarkan. Sepanjnag masa makan, mereka banyak berbucara tentang
kebesaran Allah dan nikmat-nikmat-Nya. Ayah dan ibu terpaksa
bermuka-muka kerana tak tahu apa yang nak dicakapkan. Nak menyampuk…
takut tak kena pula jalannya.
Selepas mengemaskan rumah
secara bergotong-royong, adik-adik Abang Zamri berkumpul di serambi
rumah. Mereka disertai oleh dua tiga orang anak-anak jiran. Rupanya
mereka berlatih nasyid, siap dengan genderangnya sekali. Mereka
mendendangkan lagu-lagu nasyid popular dan juga lagu ciptaan mereka
sendiri. Sura mereka yang berharmoni indah bergema sampailah ke tengah
hari. Kata emak Abang Zamri, kumpulan nasyid budah-budak itu sering
menerima jemputan di sekitar daerah. Selama lima hari di sana, ibu sudah
jatuh cinta dengan irama nasyid. Boleh dikatakan setiap album nasyid
terbaru mesti dibelinya selepas itu. Dulu, ibu bukan main lagi… dengan
karaoke dangdutnya yang terdengar sampai ke tengahjalan. Tentu ibu malu
kalau terkenangkannya.
Kononnya hubungan Pakcik Luqman
dengan isterinya sangat baik… macam baru berkahwin. Mereka selalu
tersenyum dan bergurau, malah nampak malu-malu walaupun sudah tua. Kalau
duduk tu… mesti nak rapat-rapat. Isterinya pun bukan main taat lagi
kepada suami. Mungkin inilah yang membuatkan ibu dan ayah terasa sangat.
Al maklumlah, mereka di rumah memang tak ampak mesra. Bergurau jarang,
bertegang leher selalu. Benda kecil pun nak bertekak. Ayah balik dari
luar pun tak pernah ibu sambut. Masing-masing dengan hal sendiri.
Berbincang hal agama… jauh sekali.
Pelbagai pengalaman baru yang
ibu dan ayah dapat di Terengganu. Agaknya mereka telah menemui formula
keluarga bahagia… dan mahu mempraktikkannya dalam keluarga kami.
Alangkah indahnya keluargaku kini…alangkah sayangnya Allah kepada
keluargaku…aku bersyukur kepada-Mu ya Allah.
“Eh, Ada dengar ke apa yang Mak ceritakan ni?” soal ibu apabila melihat aku tersenyum mengelamun.
“Eh… mmm…dengar Mak”, jawabku serba salah.
“Mak sebenarnya berkenan pulak dengan sepupu Abang Zamri di terengganu yang ama Shahrul tu…”
“Alah mak ni… nak cerita pasal kahwin le tu”, cetusku lalu segera beredar ke dapur.